Page Fathul Islam

Pages

Showing posts with label Nasihat / tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Nasihat / tazkirah. Show all posts

Mutiara kata : Adab sesama manusia

Thursday, 21 June 2012 0 comments

Dalam kita menempuh kehidupan sebagai manusia ini, tidak dapat tidak hubungan interaksi antara kita dengan manusia lain akan berlangsung setiap hari. Itu memang sudah perkara semulajadi. Dengan kewujudan pelbagai rangkaian sosial di internet pada masa sekarang, menjadikan ruang interaksi dan sosial manusia menjadi lebih luas.

Islam sebagai satu agama yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia telah menetapkan dan menggariskan panduan kepada umatnya dalam berinteraksi sesama manusia, tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit, keadilan Islam adalah untuk dirasai oleh semua manusia.

Jika kita membuka lembaran al-Quran dan kitab-kitab hadis, pasti akan kita dapati begitu banyak ayat-ayat dan sabda baginda SAW yang menyeru kepada adab-adab dalam berinteraksi sesama manusia. Sebagai contoh, dalam Surah Al-Hujuraat banyak diterangkan kepada kita tentang adab-adab dalam berinteraksi sesama manusia.

Dalam ruangan ringkas di artikel ini, saya tidak bermaksud untuk menafsirkan ayat-ayat al-Quran tersebut, juga tidak untuk mensyarahkan hadis-hadis Rasulullah, mungkin dalam kesempatan yang lain akan saya cuba berbuat sedemikian. 

Tetapi, pada kali ini saya ingin berkongsi satu mutiara kata Arab yang dikongsikan oleh sahabat saya. Pada saya, mutiara kata ini seolah-olah sebagai rumusan kepada beberapa perkara yang telah dijelaskan di dalam al-Quran dan juga dalam hadis-hadis Rasulullah. Saya rasa mutiara kata ini sangat patut untuk difahami dan dihayati seterusnya dipraktikkan dalam kita berinteraksi sesama manusia, sesuai dengan status yang kita bawa iaitu sebagai seorang muslim.

Mutiara kata tersebut adalah seperti di bawah. Saya telah terjemahkan ia agar dapat difahami oleh semua orang. Renung-renungkanlah.


Maksud mutiara kata ini adalah seperti berikut :

Jika kamu tidak mampu untuk memberi manfaat kepada manusia, maka jangan kamu memudaratkannya,
Dan jika kamu tidak menggembirakannya, maka jangan kamu menyedihkannya,
Dan jika kamu tidak bersama dengannya (ketika dia ditimpa musibah), maka jangan kamu gembira dengan penderitaannya,
Dan jika kamu tidak gembira dengan nikmat yang diperolehinya, maka jangan kamu dengki dengannya,
Dan jika kamu tidak memujinya, maka jangan kamu mencelanya.

Dan ketahuilah bahawa setiap insan ada hak-hak persaudaraan kemanusiaan ke atas kamu,
Maka jadilah kamu seorang yang lemah lembut kepada semua manusia, dan jadikanlah kasih sayang kamu melimpah ke atas mereka,
Janganlah kamu jadi orang yang biadap, yang tiada perasaan belas kasihan, yang bakhil tangannya dan yang keras hatinya.

Orang yang mengasihi orang lain maka dia akan dikasihi pula oleh Allah SWT.

Sekadar itu sahaja coretan saya pada kali ini. Sebagai kesimpulannya, ilmu itu bukan hanya sekadar tahu, tapi perlu diamalkan. Lebih-lebih lagi kita sebagai muslim tidak patut hanya mendakwa diri sebagai muslim, tetapi buktikan kenyataan kita itu berdasarkan perbuatan dan tingkah laku kita.

Teringat kata-kata daripada sahabat saya :

"The real Islam is not just claiming that you are muslim, but you have to prove that you are a real muslim by your actions. Your actions define yourself." 

Sekian. Wallahua'lam.

2 nikmat yang sentiasa dilupakan

Friday, 20 April 2012 0 comments

Allah menciptakan manusia di atas muka bumi ini adalah dengan tujuan untuk beribadat dan mengabdikan diri kepada-Nya, tanpa mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Seperti mana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran :

"Tidaklah Aku menciptakan manusia dan jin itu melainkan untuk beribadah kepada-Ku"
(Surah Az-Zariyat 51:56)

Bagi membolehkan manusia melakukan tujuan tersebut dengan baik, maka Allah SWT telah mengurniakan manusia berbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya, bermula dari masa kelahiran kita hinggalah ke saat ajal menjelang. Dengan nikmat yang dikurniakan itulah manusia dapat menjalankan tujuan sebenar penciptaan mereka, iaitu untuk beribadah kepada Allah. 

Tapi, malangnya nikmat yang banyak yang dikurniakan Allah itu seringkali dilupakan dan disalahgunakan oleh manusia. Sering kali dengan nikmat yang dikurniakan itu, manusia melakukan kekufuran terhadap Allah. Amat sedikit sekali yang bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah itu. Firman Allah SWT :

"Dan Dialah yang telah menciptakan bagimu pendengaran, penglihatan dan hati nurani, tetapi sedikit sekali kamu bersyukur." (Surah Al-Mu'minun, ayat 78)

Sabda Rasulullah SAW :

"Daripada Ibn Abbas RA berkata : telah bersabda Rasulullah SAW : "dua nikmat yang kebanyakan manusia sering lupa dan lalai, iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang." (riwayat Bukhari)

2 nikmat yang sering dilupakan

Dalam hadis di atas, telah dinyatakan kepada kita bahawa nikmat sihat dan nikmat masa lapang adalah dua nikmat yang manusia sering lupa dan leka daripadanya. Bagaimana dua nikmat ini sering dilupakan?

  1. Nikmat sihat

Nikmat sihat adalah satu nikmat yang sangat-sangat bernilai dalam kehidupan manusia. Malah, mungkin nikmat yang paling berharga setelah nikmat Iman dan nikmat Islam. Dengan nikmat sihat, manusia dapat melakukan pelbagai aktiviti dan dapat hidup dengan sempurna.

Cuba bayangkan, seorang yang kaya raya tetapi sakit, mempunyai rumah besar dan selesa tetapi kehidupannya asyik derita kerana sakit yang dihadapi, dihidangkan pula kepadanya makanan dengan lauk pauk yang enak dan lazat tetapi dia sendiri tidak dapat merasainya kerana boleh memudaratkan. Adakah kemewahan yang dimilikinya itu memberi makna lagi kepada kehidupannya? Tidak sama sekali. Kemewahannya itu tidak memberi apa-apa makna kepada kehidupannya. Malah, dia mungkin merasakan seolah-olah tidak pernah mengecapi apa-apa kemewahan pun dalam kehidupannya disebabkan satu nikmat yang kurang daripada hidupnya, iaitu nikmat sihat.

Hal ini menunjukkan betapa bernilainya nikmat sihat kepada kehidupan manusia. Tanpa nikmat sihat, seolah-olah dunia ini gelap bagi manusia.

Allah telah mengurniakan manusia dengan nikmat sihat dengan tujuan agar manusia dapat memanfaatkannya untuk beribadat kepada-Nya sesempurna mungkin. Tetapi malangnya, ada juga manusia yang pada waktu sihatnya tidak pula ia menggunakan nikmat sihat itu dengan memperbanyakkan beribadat kepada Allah. Malah, digunakan pula nikmat itu untuk melakukan maksiat kepada Allah. Ini merupakan antara bentuk bagaimana nikmat sihat dilalaikan. Apabila waktu sakit, barulah mereka kembali mengingati Allah.

Sepertimana yang telah dijelaskan, nikmat sihat merupakan nikmat yang sangat berharga dalam kehidupan manusia. Sepatutnya, apabila kita mendapat sesuatu yang bernilai dan sangat dicintai, menjadi lumrah manusia akan turut menghargai dan berterima kasih kepada sang pemberi. Begitu juga dengan nikmat sihat, ia merupakan nikmat yang sangat dicintai oleh semua manusia. Jadi, apabila kita dikurniakan nikmat sihat, sewajarnya kita berterima kasih dan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan itu. Apabila tidak bersyukur, itulah namanya kufur nikmat. Tidak menghargai pemberian agung dari Allah SWT.

Bagaimana bersyukur dengan nikmat sihat?

Tujuan asal penciptaan manusia adalah untuk beribadat kepada Allah. Bersyukur dengan nikmat sihat boleh dilaksanakan dengan memperbanyakkan ibadat kepada Allah sementara kemampuan masih ada. Apabila tiba waktu sakit, manusia mungkin tidak lagi mampu untuk beribadat dengan sesempurna mungkin. Jadi, pada waktu sihat lah waktu yang baik untuk menzahirkan kesyukuran kita kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan.


  1. Nikmat masa lapang

Nikmat masa lapang merupakan antara berbagai-bagai nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada manusia. Perkara ini memang benar. Cuba kita imbas balik masa yang telah berlalu. Kadang-kadang, ada waktu yang kita merasakan sangat-sangat sempit disebabkan bebanan kerja yang bertimbun. Pada waktu ini, masa kita sangat terbatas. Masa kita hanya ditumpukan kepada kerja yang dibebankan itu. Sampaikan kita tidak ada waktu untuk berhibur, waktu untuk beribadat pun menjadi semakin sempit. Tetapi, di waktu yang lain pula, kita merasakan sangat-sangat lapang, kerana bebas daripada apa-apa kerja, bebas daripada apa-apa pertanggungjawaban dunia. Waktu lapang inilah nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita untuk kita manfaatkan dengan sebaiknya.

Dalam hadis yang lalu, telah dinyatakan bahawa nikmat masa lapang adalah antara nikmat yang sering dilalaikan oleh manusia. Bagaimana nikmat ini dilalaikan?

Berbagai-bagai perkara yang boleh melalaikan kita daripada nikmat masa lapang. Boleh jadi masa lapang kita dilalaikan dengan melepak, tanpa ada perkara-perkara yang berfaedah yang diisi padanya. Bermacam-macam perkara yang memungkinkan kita melalaikan nikmat masa lapang yang dikurniakan Allah. Tetapi, yang lebih penting untuk ditekankan, bagaimana menjadikan masa lapang kita terisi dengan baik dan tidak terbuang dengan sia-sia. Dan juga bagaimana caranya untuk kita bersyukur dengan nikmat masa lapang ini.

Menjadikan masa lapang terisi dengan baik juga merupakan cara kesyukuran kita pada Allah terhadap nikmat masa lapang ini. Waktu lapang kita sepatutnya diisi dengan perkara-perkara yang boleh mendekatkan lagi diri kita kepada Allah SWT. Isikan masa lapang kita dengan berbincang perkara-perkara ilmu, hadirkan diri ke majlis-majlis ilmu. Dan, perbanyakkanlah ibadat kita pada ketika waktu lapang ini, kerana peluang untuk memperbanyakkan ibadat ini tidak akan kita dapati pada waktu di mana kita sibuk dengan pelbagai urusan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, ingin saya nukilkan kata-kata daripada Ibn Jauzi :

"Sesungguhnya dunia itu ladang bagi akhirat, dan padanya perniagaan yang keuntungannya akan terhasil ketika di akhirat, barangsiapa yang menggunakan waktu lapangnya dan kesihatannya pada ketaatan kepada Allah maka dia orang yang bernasib baik, dan barangsiapa yang menggunakannya (waktu lapang dan kesihatan) pada kemaksiatan kepada Allah maka dia orang yang tertipu."

Dan, cukuplah kata-kata di atas sebagai pembakar semangat dan pendorong buat kita semua dalam memanfaatkan nikmat-nikmat Allah dan menggunakannya untuk ketaatan kepada Allah, dan seterusnya mencapai kejayaan di hari akhirat kelak. InsyaAllah.


Wallahua'lam.


Wan Ahmad Syafiq Bin Wan Ahmad Ikram
Mafraq, Jordan
12.53 a.m / 20 April 2012

Muhasabah diri satu kemestian

Saturday, 7 January 2012 0 comments

Setiap manusia di atas muka bumi ini memang tidak terlepas dari dosa dan kesalahan. Baik yang tua mahupun yang muda, lelaki atau perempuan, semuanya pernah melakukan kesalahan dan kesilapan. Cuma, bezanya antara kita semua ialah kesedaran dan keinsafan yang dimiliki oleh setiap manusia itu untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Bezanya juga terletak pada bagaimana seseorang itu mengurus dirinya apabila didapati dirinya dipenuhi dengan dosa-dosa. 

Kita semua telah sedia maklum bahawa Rasulullah pernah bersabda, : "Setiap bani Adam itu pasti melakukan dosa dan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang bertaubat."

Daripada hadis ini, kita dapat faham bahawa cara untuk menghapuskan dosa adalah dengan bertaubat. Tetapi, apa yang menjadi masalahnya, ramai di antara kita yang sukar untuk menuju ke jalan taubat. Mengapa??

Pada fikiran saya, perkara ini berlaku kerana belum timbul rasa kesedaran dan keinsafan dalam diri mereka. Apabila wujud rasa keinsafan dalam diri, makanya, saya rasa, sedikit sebanyak mereka turut akan terkesan dengan rasa insaf itu lantas jalan taubat akan dipilih sebagai cara untuk mensucikan diri dari dosa-dosa terdahulu.

Tetapi, ada satu lagi persoalan yang timbul dalam diri saya, pada hari ini kita dapat lihat ramai orang yang melakukan maksiat, di mana-mana sahaja perkara ini berlaku, tetapi, mengapa tidak timbul rasa keinsafan dalam diri mereka untuk bertaubat dan kembali kepada jalan yang sebenar?

Jadi, masalahnya di sini, bagaimana cara untuk kita sentiasa menimbulkan rasa insaf dalam diri supaya kita sentiasa sedar bahawa kita ini manusia biasa yang sentiasa menanggung dosa?

Pada pandangan saya, muhasabah diri yang berterusan merupakan jalan yang terbaik untuk mewujudkan rasa insaf dalam diri. Bak kata orang, bercakap memang mudah tetapi untuk melaksanakannya sangat sukar sekali. Ya, saya akui perkara ini. Ianya lagi sukar untuk dilaksanakan oleh orang yang melencong jauh dari ajaran agama. 

Tetapi, bagi seseorang individu muslim, muhasabah diri sangat perlu untuk diamalkan selalu. Bahkan, perkara ini sangat dituntut. Sebagaimana Sayyidina Umar Bin Al-Khattab pernah berkata : 

حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا
Maksudnya : "hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab (di akhirat kelak).

Kita semua pun tahu bahawa setiap hari ada saja kesalahan dan dosa yang dilakukan. Tetapi, sekarang ini terserah pada kita bagaimana kita mengurus diri sendiri, sama ada ingin terus menerus diselubungi dengan dosa dan mati dengan membawa dosa atau ingin bertaubat untuk mensucikan diri daripada dosa. 

Fikir-fikirkanlah!!

Muhasabah diri ini tidaklah sukar untuk diamalkan sebenarnya. Sekadar bertafakur seketika mengenang kembali kesalahan dan dosa-dosa yang lalu agar timbul keinsafan dalam diri untuk bertaubat. Sebaiknya, ia diamalkan pada setiap hari, pada waktu seperti sebelum tidur, selepas solat atau bila-bila masa yang dirasakan sesuai. Terserah pada diri sendiri. Yang penting istiqamah dalam pelaksanaannya.

Jadi sebagai kesimpulannya, saya ingin mengulas sedikit kata-kata Sayyidina Umar yang telah saya sebutkan di atas tadi. Kata-katanya supaya kita menghitung diri kita, yakni menghitung segala amalan yang telah kita lakukan sehari-hari sementara kita masih hidup di dunia ini sebelum kita dihitung pula segala amalan di dunia ini oleh Allah S.W.T di akhirat kelak. Apa yang kita dapati buruk pada diri maka ubahlah kepada yang baik, dan apa yang baik moga-moga dapat dikekalkan. Ingatlah, muhasabah diri itu satu kemestian kepada seseorang individu muslim.

Sekian saja tazkirah ringkas dari saya. Semoga tazkirah ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada kita semua tentang kepentingan untuk bermuhasabah diri. Apa yang baik ambillah untuk dijadikan pengajaran, dan apa yang buruk itu sememangnya kekurangan dari diri saya sendiri yang dhaif ini. Kritikan dan komen yang membina dan bukannya menghina sangat-sangat digalakkan.

Wallahua'lam.


 
Fathul Islam © 2011 - Designed by Blogger Templates Gallery