Alhamdulillah, pada hari ini, kita menyaksikan berbagai-bagai kemajuan yang telah dicapai oleh masyarakat dunia. Banyak teknologi yang telah dibangunkan untuk mengeluarkan manusia daripada kehidupan yang rumit kepada kehidupan yang lebih mudah. Perkembangan dan pembangunan ini sememangnya merupakan salah satu daripada nikmat Allah kepada manusia. Cuma, berapa banyak manusia yang bersyukur akan kurniaan ini dan menggunakannya sebaik mungkin.
Dalam arus perkembangan teknologi yang dicapai oleh manusia pada zaman sekarang, manusia dapat mengakses maklumat hanya di hujung jari. Tidak perlu bersusah-payah untuk pergi ke tempat lain untuk mendapat maklumat. Teknologi yang sangat berharga ini membuka peluang dan ruang yang luas untuk penyebaran dakwah Islami menjadi semakin meluas dan bergiat semakin rancak. Dengan kemudahan internet, perkara ini menjadi sesuatu yang lebih realistik untuk dilaksanakan.
Cuba kita kembali mengingati sirah Rasulullah SAW dahulu. Pada zaman Rasulullah, antara cara dakwah Islam disampaikan adalah dengan mengutus para sahabat RA ke wilayah-wilayah tertentu untuk menyampaikan risalah Islam. Kita lihat bagaimana kejuhudan para sahabat dalam meyampaikan dakwah, terpaksa meredah padang pasir yang panas sejauh beratus-ratus batu demi meyampaikan dakwah Islam. Alhamdulillah, dengan kejuhudan Rasulullah dan para sahabatnya dalam meyampaikan dakwah, Islam berkembang luas. Malah, Islam menjadi satu agama yang digeruni suatu ketika dahulu.
Dakwah Islam dapat tersebar luas pada zaman Rasulullah walaupun tanpa teknologi yang canggih. Pada zaman kita sekarang, teknologi telah melalui kemajuan dan perkembangan yang pesat. Berbagai kemudahan yang telah dibangunkan. Jadi, sebagai orang Islam, bagaimana kita patut memanfaatkan teknologi-teknologi ini untuk dakwah Islam.
Antaranya, dengan memanfaatkan bidang penulisan. Sekarang ini, kita ada kemudahan internet. Di internet, manusia dapat mengakses pelbagai maklumat, sama ada melalui laman-laman sosial, blog dan sebagainya. Jadi, alangkah baiknya jika peluang ini dapat dimanfaatkan dengan dakwah Islam.
Saya sangat yakin dan percaya bahawa penulisan-penulisan di internet mampu menjadikan dakwah Islam berkembang luas. Malah, mungkin ia menjadi satu medium dakwah yang lebih efektif. Mengapa? Pada zaman sekarang, anak-anak muda lebih gemar "menghadap" internet berbanding membaca buku. Mereka lebih cenderung untuk mendapatkan maklumat daripada laman-laman sosial atau blog di internet berbanding dengan buku. Hal ini menunjukkan "hubungan" yang rapat antara golongan muda dan internet itu sendiri.
Penulisan yang saya maksudkan saya di sini tidak terhad hanya kepada penulisan yang berbentuk karangan yang membosankan semata-mata. Penulisan itu sesuatu yang subjektif. Ia boleh jadi dalam apa jua bentuk, seperti gambar-gambar Islamik, komik Islamik, lawak Islamik dan macam-macam lagi. Perkara-perkara ini boleh dikhususkan kepada orang yang mahir dalam bidang tertentu.
Islam sangat-sangat memerlukan orang yang berkebolehan dalam berkarya untuk meluaskan dakwah Islami. Suatu hakikat yang perlu kita ketahui, pemikiran manusia bukan semuanya sama. Ada manusia yang minat membaca, ada manusia yang minat sesuatu yang santai dan tidak terlalu formal dan ada juga manusia yang minat berhibur. Setiap manusia mempunyai gaya pemikiran yang berbeza. Dakwah Islam perlu mengikut kepelbagaian gaya pemikiran ini supaya ia mencapai tujuannya, iaitu untuk membawa manusia mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jadi, tidak sepatutnya dakwah Islam itu berjalan atas gaya dan cara yang satu. Ia perlu dipelbagaikan supaya menepati gaya pemikiran manusia itu sendiri, dan supaya dakwah Islam itu dapat diterima dengan baik. Perkara ini memerlukan orang yang berfikiran kreatif dan berkebolehan dalam bidang-bidang tertentu untuk melaksanakannya.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, setiap orang Islam mesti berusaha menyampaikan dakwah Islam dengan kadar yang termampu. Dengan kemajuan teknologi pada hari ini, sesuatu yang tidak mustahil untuk dakwah Islam sampai kepada setiap ceruk pelusuk dunia. Peluang sudah terbuka luas di depan kita, cuma kita yang tidak memanfaatkannya.
Saya secara peribadinya mengajak dan menyeru kepada sahabat-sahahat sekalian agar kita sama-sama menghidupkan dan merancakkan bidang penulisan untuk dakwah Islami. Semua orang ada kemampuan masing-masing, jadi gunakanlah kemampuan yang ada pada diri anda untuk meluaskan dakwah Islam.
Wallahua'lam.
Wan Ahmad Syafiq Bin Wan Ahmad Ikram
Mafraq, Jordan
9.38 a.m / 20 April 2012
0 comments:
Post a Comment