Page Fathul Islam

Pages

Muhasabah diri satu kemestian

Saturday, 7 January 2012

Setiap manusia di atas muka bumi ini memang tidak terlepas dari dosa dan kesalahan. Baik yang tua mahupun yang muda, lelaki atau perempuan, semuanya pernah melakukan kesalahan dan kesilapan. Cuma, bezanya antara kita semua ialah kesedaran dan keinsafan yang dimiliki oleh setiap manusia itu untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Bezanya juga terletak pada bagaimana seseorang itu mengurus dirinya apabila didapati dirinya dipenuhi dengan dosa-dosa. 

Kita semua telah sedia maklum bahawa Rasulullah pernah bersabda, : "Setiap bani Adam itu pasti melakukan dosa dan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang bertaubat."

Daripada hadis ini, kita dapat faham bahawa cara untuk menghapuskan dosa adalah dengan bertaubat. Tetapi, apa yang menjadi masalahnya, ramai di antara kita yang sukar untuk menuju ke jalan taubat. Mengapa??

Pada fikiran saya, perkara ini berlaku kerana belum timbul rasa kesedaran dan keinsafan dalam diri mereka. Apabila wujud rasa keinsafan dalam diri, makanya, saya rasa, sedikit sebanyak mereka turut akan terkesan dengan rasa insaf itu lantas jalan taubat akan dipilih sebagai cara untuk mensucikan diri dari dosa-dosa terdahulu.

Tetapi, ada satu lagi persoalan yang timbul dalam diri saya, pada hari ini kita dapat lihat ramai orang yang melakukan maksiat, di mana-mana sahaja perkara ini berlaku, tetapi, mengapa tidak timbul rasa keinsafan dalam diri mereka untuk bertaubat dan kembali kepada jalan yang sebenar?

Jadi, masalahnya di sini, bagaimana cara untuk kita sentiasa menimbulkan rasa insaf dalam diri supaya kita sentiasa sedar bahawa kita ini manusia biasa yang sentiasa menanggung dosa?

Pada pandangan saya, muhasabah diri yang berterusan merupakan jalan yang terbaik untuk mewujudkan rasa insaf dalam diri. Bak kata orang, bercakap memang mudah tetapi untuk melaksanakannya sangat sukar sekali. Ya, saya akui perkara ini. Ianya lagi sukar untuk dilaksanakan oleh orang yang melencong jauh dari ajaran agama. 

Tetapi, bagi seseorang individu muslim, muhasabah diri sangat perlu untuk diamalkan selalu. Bahkan, perkara ini sangat dituntut. Sebagaimana Sayyidina Umar Bin Al-Khattab pernah berkata : 

حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا
Maksudnya : "hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab (di akhirat kelak).

Kita semua pun tahu bahawa setiap hari ada saja kesalahan dan dosa yang dilakukan. Tetapi, sekarang ini terserah pada kita bagaimana kita mengurus diri sendiri, sama ada ingin terus menerus diselubungi dengan dosa dan mati dengan membawa dosa atau ingin bertaubat untuk mensucikan diri daripada dosa. 

Fikir-fikirkanlah!!

Muhasabah diri ini tidaklah sukar untuk diamalkan sebenarnya. Sekadar bertafakur seketika mengenang kembali kesalahan dan dosa-dosa yang lalu agar timbul keinsafan dalam diri untuk bertaubat. Sebaiknya, ia diamalkan pada setiap hari, pada waktu seperti sebelum tidur, selepas solat atau bila-bila masa yang dirasakan sesuai. Terserah pada diri sendiri. Yang penting istiqamah dalam pelaksanaannya.

Jadi sebagai kesimpulannya, saya ingin mengulas sedikit kata-kata Sayyidina Umar yang telah saya sebutkan di atas tadi. Kata-katanya supaya kita menghitung diri kita, yakni menghitung segala amalan yang telah kita lakukan sehari-hari sementara kita masih hidup di dunia ini sebelum kita dihitung pula segala amalan di dunia ini oleh Allah S.W.T di akhirat kelak. Apa yang kita dapati buruk pada diri maka ubahlah kepada yang baik, dan apa yang baik moga-moga dapat dikekalkan. Ingatlah, muhasabah diri itu satu kemestian kepada seseorang individu muslim.

Sekian saja tazkirah ringkas dari saya. Semoga tazkirah ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada kita semua tentang kepentingan untuk bermuhasabah diri. Apa yang baik ambillah untuk dijadikan pengajaran, dan apa yang buruk itu sememangnya kekurangan dari diri saya sendiri yang dhaif ini. Kritikan dan komen yang membina dan bukannya menghina sangat-sangat digalakkan.

Wallahua'lam.


0 comments:

Post a Comment

 
Fathul Islam © 2011 - Designed by Blogger Templates Gallery