Page Fathul Islam

Pages

My passion on writing

Wednesday, 9 May 2012
Sejak beberapa tahun yang lepas, apabila melihat sahabat-sahabat saya memiliki blog, hati saya juga terdetik untuk memiliki blog sendiri. Tetapi, pada waktu itu keadaan saya yang sibuk memanjang dengan akademik di sekolah menghalang saya untuk meneruskan hasrat tersebut. Sudah beberapa kali hasrat saya itu terkubur dek kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Tambahan pula, pada waktu itu saya masih baru dengan dunia penulisan, tidak tahu bagaimana hendak bermula.

Akhirnya, hasrat saya untuk memiliki blog tercapai selepas tamat SPM pada tahun 2010.

Setakat ini, saya masih lagi baru dengan dunia penulisan. Masih lagi merangkak. Masih banyak yang perlu dipertingkatkan.

Saya minat menulis kerana saya rasa banyak manfaat yang dapat saya perolehi daripadanya. Antaranya adalah :

Saya menulis saya seronok

Apabila saya mula menulis, saya berasa seronok. Keseronokan itu datang ketika mencurahkan idea untuk dimuatkan dalam penulisan. Apabila mula seronok dengan menulis, ketika sesekali mempunyai kesempitan waktu sehingga tidak ada ruang untuk menulis, lantas saya menjadi rindu. Rindu untuk menulis balik. 

Kehidupan sebagai seorang pelajar memperuntukkan saya untuk membahagikan waktu mengikut keutamaan. Kadangkala, saya terpaksa menangguhkan aktiviti menulis untuk memberi fokus kepada perkara yang lebih utama, lalu menjadikan saya tidak konsisten dalam mengupdate blog ini. Sebab itulah, kadangkala ada gap masa yang agak lama sebelum saya mula menulis post baru di blog ini. Perkara tersebut memang tidak dapat saya elakkan kerana saya perlu memberi komitmen yang lebih terhadap pelajaran.

Saya menulis saya berdakwah

Di samping saya menulis sebagai satu hiburan terhadap diri sendiri, pada waktu yang sama juga saya dapat melakukan dakwah. Sebelum ini saya pernah menulis tentang tajuk "penulisan sebagai medium dakwah Islami". Dalam tulisan tersebut, saya menerangkan serba sedikit tentang potensi aktiviti penulisan dalam dakwah Islami. Saya menulis tentang tajuk tersebut kerana saya menyedari akan kemampuan aktiviti penulisan untuk menjadi medium dakwah yang efektif. 

Menyedari akan hal ini, saya langkah ke hadapan sedikit dengan berusaha untuk mewujudkan penulisan ilmiah di blog ini. Kadangkala saya berkongsi pengalaman yang pernah saya lalui, kemudian saya mengaitkan dengan sedikit ilmu agama yang saya ada. Saya lebih suka cara dakwah berdasarkan pengalaman, kerana menepati dengan realiti masyarakat sekarang, dan mendidik terus diri saya berdasarkan apa yang telah saya lalui.

Apa yang saya lakukan ini menjadikan saya menulis sambil berdakwah. Dan perkara ini juga menjadikan minat saya terhadap menulis semakin bertambah. 

Saya menulis saya tenang

Apabila saya menulis kadangkala saya dapat ketenangan. Ketenangan yang saya peroleh adalah apabila saya meluahkan rasa hati saya dalam penulisan. Terasa puas di hati ketika menyertakan sekali perasaan yang saya rasa ketika itu dalam tulisan-tulisan saya. Perkara ini antara yang paling saya suka ketika menulis. Sungguh menenangkan perasaan.

Kadangkala juga, saya menulis untuk melepaskan rindu. Rindu kepada masa lampau saya. Rindu kepada keluarga dek kerana mengembara jauh mengutip mutiara ilmu. Apabila saya dilanda rindu, saya mengubatinya dengan menulis. Menulis kenangan pahit dan manis ketika di masa lampau. Menulis surat cinta untuk keluarga di Malaysia. Semua ini saya lakukan ketika jiwa lara dilanda rindu.

Saya menulis saya mengharap

Saya seorang yang mempunyai cita-cita yang tinggi. Cita-cita saya setinggi bintang di langit. Kadangkala, hati saya mendesak untuk berkongsi dan meluahkan cita-cita saya itu kepada orang lain. Tetapi, saya sukar untuk menemui orang yang boleh menjadi pendengar yang baik untuk saya. Lalu saya menulis lagi. Saya menulis kesemua cita-cita saya. Saya menulis dengan penuh perasaan yang mengharap. Mengharap akan tercapainya semua cita-cita itu. 

Ketika menulis, bisik hati saya berdoa kepada Allah supaya merealisasikan impian saya. Doa yang penuh dengan pengharapan.

Akhir kata 

Menulis adalah hobi yang paling saya cintai. Banyak faedah yang saya dapat dengan menulis. Walau di mana jua saya berada, walau apa jua situasi yang saya hadapi, saya akan menulis dan terus menulis.

Wallahua'lam

0 comments:

Post a Comment

 
Fathul Islam © 2011 - Designed by Blogger Templates Gallery