Alhamdulillah, baru-baru ini para mahasiswa Malaysia di Mafraq telah dihidangkan dengan satu majlis ilmu berupa open talk tentang isu semasa di Malaysia. Dan, saya juga tidak ketinggalan untuk mengikuti sekali program yang sangat berharga itu.
Saya ingin highlight kan di sini beberapa perkara berdasarkan apa yang saya dapat daripada program tersebut.
Saya betul-betul tertarik dengan statement salah seorang panel di majlis ilmu itu. Katanya :
Para mahasiswa yang belajar ilmu agama Islam berbeza dengan mahasiswa yang belajar dalam bidang lain, seperti perubatan, kejuruteraan dan sebagainya. Apa yang membezakan mereka dengan yang lain adalah ilmu agama yang mereka pelajari itu tujuannya untuk diaplikasikan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuklah dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.
Jadi, apabila sesuatu isu yang timbul dalam negara kita, maka mahasiswa Islam yang belajar ilmu agama ini hendaklah melihat dan berhadapan dengan isu tersebut dengan berpaksikan kepada ilmu yang tepat yang mereka pelajari, dan bukan semata-mata menyokong atau membantah secara membabi buta. Dan bukan juga menyokong atau membantah kerana ia menguntungkan pihak yang kita cenderung. Tetapi, biarlah menyokong dan membantah kita itu ditentukan berdasarkan ilmu yang tepat yang kita pelajari, dan bukannya berdasarkan sikap dan emosi yang sering kali membuat nilaian salah.
Boleh jadi sesuatu isu itu yang pada hari ini kita lihat baik matlamatnya dan pelaksanaannya juga tepat dengan apa yang digariskan oleh syariah, maka dalam keadaan ini kita sokong. Dan boleh jadi juga isu dengan wajah yang sama dibangkitkan pula pada masa depan, tetapi matlamatnya akan merosakkan Islam dan pelaksanaannya juga jauh daripada prinsip Islam yang sebenar, maka dalam keadaan ini kita tidak sokong.
Apa yang menjadi alat bagi kita dalam menentukan apa yang wajar disokong dan apa yang tidak wajar disokong adalah ilmu yang tepat yang kita pelajari. Jadi, tadahlah ilmu agama daripada pembimbing yang benar dan carilah rujukan yang sahih agar tidak terserong dalam memahami agama. Dan elakkan daripada menilai sesuatu isu dengan pengaruh emosi dan sikap agar tidak berlaku ketidakadilan dalam menilai sesuatu isu.
Sahabat-sahabat sekalian..
Kita adalah golongan agama yang terpelajar. Jangan letakkan diri kita setaraf dengan orang yang mungkin kurang dari aspek ilmu agamanya. Apabila timbul sesuatu isu, lihatlah dengan pandangan yang jauh. Jangan sempitkan pemikiran. Jangan sesekali ada sikap taassub yang melampau terhadap sesuatu. Sikap taassub adalah sikap orang yang jahil. Sikap taassub hanya membutakan fikiran sehingga tidak dapat menilai dengan waras apa yang baik dan apa yang buruk. Buka seluas-luasnya pemikiran dan pintu hati kita untuk menerima pendapat dari pelbagai pihak. Terima dulu, kemudian nilai dengan berpaksikan kepada ilmu agama yang tepat yang kita pelajari.
Para mahasiswa hendaklah bebas, bebas dari sudut pemikirannya. Jangan biarkan pemikiran kita "diikat terlalu ketat" (taassub) oleh mana-mana parti politik ataupun mana-mana ideologi pemikiran. Jika mahu menyokong dan mendokong mana-mana ideologi pemikiran, itu terserah kepada kalian. Cuma, jangan ada sikap taassub yang melampau sehinggakan pendapat-pendapat diambil dan ditapis hanya yang akan memberi keuntungan kepada ideologi yang disokong walaupun ia bercanggah dengan syarak.
Kesempatan yang kita ada di bumi Jordan ini jangan disia-siakan. Tadahlah ilmu sebanyak mungkin. Carilah pembimbing yang benar dan rujukan yang sahih untuk membimbing kita dalam menelusuri kehidupan sebagai pelajar agama, atau lebih tepat lagi pelajar Syariah.
p/s : Tulisan ini adalah sebagai nasihat untuk diri saya sendiri dan juga untuk para sahabat, dan ia adalah pendapat peribadi saya. Saya sangat-sangat berharap agar jika ada kesalahan dan kesilapan dalam tulisan ini, komen dan kritiklah dengan baik agar saya dapat membetulkan kesilapan saya.
Wallahua'lam.
Wan Ahmad Syafiq Bin Wan Ahmad Ikram
Mafraq, Jordan
11 Mei 2012
Wan Ahmad Syafiq Bin Wan Ahmad Ikram
Mafraq, Jordan
11 Mei 2012