Pada hari ini, ramai manusia dalam kalangan masyarakat Islam sendiri meninggalkan amalan sunnah Rasulullah SAW. Pengamalan sunnah dalam masyarakat Islam semakin kurang, dan amalan-amalan sunnah ini seolah-olah "tenggelam" dalam arus pemodenan dunia. Boleh jadi sebab berlakunya perkara ini adalah kerana kurangnya ilmu dalam kalangan masyarakat Islam tentang sunnah-sunnah Rasulullah SAW. Dan, boleh jadi juga sebabnya kerana kurangnya ambil berat mereka terhadap amalan sunnah nabi dan mereka hanya memandang remeh perkara-perkara seperti ini.
Amalan sunnah adalah amalan yang sangat dituntut untuk dilakukan kerana ia merupakan amalan-amalan Rasulullah ketika hayat baginda. Melakukan amalan sunnah juga menggambarkan kasih dan cintanya kita kepada baginda Rasulullah. Kadang-kadang, terdapat segelintir manusia yang berfikiran amalan sunnah ini hanya amalan tambahan, tak apa kalau ditinggalkan. Daripada sikap ini, mulalah timbul dialog-dialog yang kurang elok, seperti "itu amalan sunat je, takpe tak payah buat pon", "alah, bukan wajib pon, takpe kalau tinggalkan pon". Ya, memang benar seseorang tidak akan menanggung apa-apa dosa kalau meninggalkan amalan sunat. Tetapi, perlu diingat juga, amalan sunat adalah amalan yang sangat dituntut, malah ia perlu "dikejar" sedaya mungkin untuk melakukannya tanpa mengabaikan amalan yang wajib. Jadi, tidak sepatutnya dialog-dialog seperti yang di atas diucapkan oleh seseorang yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW.
Amalan-amalan sunnah Rasulullah SAW merangkumi segenap aspek kehidupan manusia, termasuklah ketika kita berada dalam rumah, keluar rumah malah ketika hendak masuk ke tandas pun ada sunnah-sunnah tertentu yang boleh diamalkan. Ketika hendak tidur juga ada amalan-amalan sunnah yang dapat kita amalkan dengan bersumberkan daripada hadis-hadis yang sahih.
Amalan-amalan sunnah ketika hendak tidur
Antara amalan-amalan sunnah ketika hendak tidur adalah seperti berikut :
1) Membaca doa
Hadis Nabi SAW :
"Dari riwayat Huzaifah dan Abu Zar RA : bahawa apabila baginda Rasulullah hendak masuk tidur, baginda akan membaca : باسمك اللهم أحيا و أموت(bismikallahumma ahya wa amut), maksudnya : dengan nama Allah aku hidup dan aku mati." (Riwayat Bukhari : 7394)
2) Bertasbih, bertakbir dan bertahmid
Hadis Nabi SAW :
"Daripada Ali RA : Bahawa Rasulullah SAW telah bersabda kepadanya dan kepada Fatimah RA : apabila kamu berdua menuju ke tempat tidur kamu (hendak tidur), maka bertakbirlah sebanyak 33 kali, dan bertasbihlah sebanyak 33 kali, dan bertahmidlah sebanyak 33 kali. Dalam riwayat yang lain, bertasbih sebanyak 34 kali. Dan dalam riwayat yang lain juga, bertakbir sebanyak 34 kali. Dan Ali telah berkata : aku tidak pernah meninggalkannya (tasbih, takbir dan tahmid) semenjak aku mendengarnya daripada Rasulullah SAW, dan dikatakan kepadanya : tidak pernah engkau tinggalkannya walaupun satu malam?, Ali berkata : tidak pernah aku tinggalkannya walaupun satu malam." (Riwayat Bukhari : 5361, dan Riwayat Muslim : 2727)
3) Membaca Surah 3 Qul dan meniupkannya ke tapak tangan dan menyapunya ke seluruh tubuh
Hadis Nabi SAW :
"Daripada Aisyah RA, bahawa apabila Nabi SAW hendak menuju ke tempat tidurnya pada setiap malam, baginda akan mengumpulkan kedua tapak tangannya dan meniup pada keduanya, kemudia membaca padanya : Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq, dan Surah An-Nas, kemudian baginda menyapu kedua tapak tangannya ke seluruh tubuhnya dengan kadar yang termampu, dimulakan dengan bahagian atas kepalanya dan wajahnya dan apa yang tersampai daripada tubuhnya, baginda melakukannya sebanyak 3 kali." (Riwayat Bukhari : 6320, dan Riwayat Muslim : 2714)
Kesimpulan
Sebenarnya, terdapat banyak lagi amalan-amalan sunnah ketika hendak tidur yang boleh diamalkan. Yang telah dinyatakan di atas merupakan sebahagian daripada amalan-amalan sunnah tersebut. Sebagai seorang Islam yang mengaku umat Nabi Muhammad SAW, kita sepatutnya berusaha untuk memperbanyakkan melakukan amalan-amalan sunnah Rasulullah SAW supaya hati kita sentiasa dekat dengan Rasulullah walaupun baginda telah lama pergi meninggalkan kita. Kalau tidak tahu, mesti usaha untuk mencari. Jadilah umat Islam yang cakna dan mengambil berat terhadap perkara sunnah yang telah ditinggalkan Rasulullah. Pada hari ini, amalan-amalan sunnah Rasulullah semakin dilupakan. Maka, menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim untuk menghidupkan kembali sunnah Rasulullah itu.
Wallahua'lam.
Rujukan : Kitab Al-Azkar, Imam An-Nawawi
Rujukan : Kitab Al-Azkar, Imam An-Nawawi
Wan Ahmad Syafiq Bin Wan Ahmad Ikram
Mafraq, Jordan
12.24 p.m / 21 April 2012