Alhamdulillah, sekarang ini saya sudah berada di pertengahan semester ketiga untuk tahun pertama ini. Di Jordan, semester yang ketiga ini lebih dikenali dengan fasal soifi (semester musim panas), sesuai dengan keadaan di Jordan sekarang ini yang sedang melalui tempoh musim panas.
Semester musim panas ini hanyalah pilihan (optional), tidaklah diwajibkan kepada setiap pelajar untuk mengambilnya.
Pada saya, semester musim panas yang saya sedang lalui ini agak rilex kerana saya hanya mengambil dua subjek sahaja. Itupun hanya satu daripadanya yang dikira dalam markah universiti. Yang satu lagi hanya subjek tambahan yang diwajibkan oleh pihak universiti untuk mengambilnya. Cuma, kelas pada semester ini berlangsung pada setiap hari untuk setiap subjek yang diambil.
Waktu yang cukup lapang di semester ini kadang-kadang menjadikan diri saya tidak berdisiplin. Selalu saja silap dalam pengurusan masa. Disebabkan itu, seringkali banyak kerja yang tertangguh walaupun punya banyak masa kosong. Ulangkaji pelajaran juga sering terabai. Aduh, penyakit ini memang sudah membarah dalam diri, sudah lama, tetapi masih tidak dapat diubati. Sedih.
Pada musim panas ini juga waktu siang di sini lebih panjang daripada waktu malamnya. Bayangkan, waktu solat Subuh di sini adalah seawal jam 3.45 pagi, dan waktu solat Isyak pula lebih kurang pada pukul 9.30 malam. Musim ini memang sangat-sangat mencabar. Mencabar diri untuk bangun awal untuk solat Subuh dan lain-lain.
Memikul tanggungjawab
Dari sudut akademik di universiti mungkin saya agak rilex, tetapi di luar universiti pula saya terbeban dengan tanggungjawab terhadap persatuan pelajar Malaysia di sini. Saya tidaklah memegang apa-apa jawatan dalam persatuan secara rasmi, tetapi memandangkan salah seorang ketua biro pulang bercuti di Malaysia, saya pula yang harus memikul tugas-tugasnya itu.
Ketika mula-mula menerima tugasan itu, rasa teruja pula untuk bekerja. Tetapi, bila dah merasai bagaimana berhadapan dengan pengurusan untuk pelajar-pelajar Malaysia di sini, rasa terbeban pula. Masa dan tenaga terpaksa dikorbankan. Tapi apakan daya, saya sudah relakan diri sendiri untuk menerima tanggungjawab itu, jadi terpaksalah juga menghadapinya walaupun rasa terbeban. Ini mungkin boleh dijadikan latihan untuk kemahiran diri. Pengalaman guru sejati dalam kehidupan bukan?
Saya rasa setakat itu sahaja la dulu untuk perkongsian kali ini. Sebenarnya, pada malam ini saya tidak dapat tidur, dan terdetik pula di hati untuk menulis sesuatu di blog ini. Disebabkan itu, saya luangkan sedikit masa untuk menulis pada malam ini. Maka, terhasillah entri ini
Sekian.