Pada kali ini, saya ingin menulis tentang tanggungjawab muslim terhadap diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Insya-Allah, dalam entri kali ini juga saya akan menyertakan sekali solusi kepada masalah umat ini.
Setiap orang di atas muka bumi ini tidak terlepas daripada amanah dan tanggungjawab. Baik yang tua mahupun yang masih muda. Tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan yang paling penting sekali, tanggungjawab terhadap agama. Segala tanggungjawab ini, daripada sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya akan diminta pertanggungjawabannya di akhirat kelak. Sebagaimana dalam satu hadis Rasulullah SAW :
Daripada ibnu Umar Ra, daripada Nabi Muhammad SAW baginda bersabda : "Ketahuilah bahawa setiap kamu pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap kepimpinanmu dan orang yang kamu pimpin. Seorang ketua adalah pemimpin ke atas manusia dan dia bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin terhadap ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang perempuan adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah pemimpin ke atas harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Ketahuilah bahawa setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap kepimpinanmu dan orang yang kamu pimpin." (riwayat Muttafaqun 'Alaih)
Lihat, bagaimana hadis di atas menerangkan kepada kita bahawa setiap daripada kita ini merupakan pemimpin yang membawa tanggungjawab terhadap pimpinan kita. Wajib ke atas kita menunaikan tanggungjawab tersebut dengan sebaiknya.
Tanggungjawab terhadap diri sendiri
Apa yang dimaksudkan dengan tanggungjawab terhadap diri sendiri? Bagaimana kita bertanggungjawab ke atas diri sendiri? Pada pendapat saya, bertanggungjawab kepada diri sendiri yang paling utama adalah bagaimana cara kita menguruskan diri kita. Kalau dari aspek agama, kita boleh kaitkan tanggungjawab terhadap diri sendiri ini dengan menyempurnakan tuntutan agama ke atas kita selaku seorang muslim. Islam telah menetapkan ke atas setiap individu muslim kewajipan-kewajipan tertentu yang mesti ditunaikan seperti solat, berpuasa, zakat dan sebagainya. Jadi, sebagai seorang muslim, wajib ke atas kita untuk menyempurnakan segala tuntutan ini sesuai dengan tuntutan syariat. Kewajipan inilah yang menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim dan tanggungjawab kepada diri kita untuk beriltizam dengan amalan-amalan yang sesuai dengan agama yang kita anuti supaya tidak menyimpang dari ajarannya.
Bukan itu sahaja, tanggungjawab terhadap diri sendiri juga merangkumi bagaimana kita menguruskan personaliti dan peribadi diri kita. Dalam Islam, kita disuruh untuk berakhlak dengan akhlak Islam. Malah, Rasulullah sendiri diutuskan untuk menghias dunia ini dengan akhlak yang baik. Maka, suruhan inilah yang menjadi tanggungjawab untuk kita laksanakan kerana ia wajib ke atas diri kita. Segala tingkah laku kita perlulah sentiasa dijaga supaya selari dengan ajaran Islam. Dalam soal ini juga, perlu disertakan sekali bagaimana kita menguruskan nafsu kita dan mengawalnya supaya tidak menyimpang dari ajaran Islam. Ini merupakan satu tanggungjawab kerana nafsu adalah sesuatu yang mengawal diri kita. Jika seseorang pandai mengawalnya, insya-Allah baiklah seluruh dirinya. Jika silap kawalannya, maka musnahlah dirinya.
Sebagai konklusinya, tanggungjawab terhadap diri sendiri ini lebih kepada untuk menunaikan tanggungjawab yang dipikulkan ke atasnya. Jika agama mewajibkan sesuatu perkara ke atas dirinya, maka ia menjadi tanggungjawab yang wajib dilaksanakan ke atasnya.
Saya tidak ingin mengulas lebih panjang tentang tanggungjawab terhadap diri sendiri ini. Tetapi, saya berhasrat ingin menulis tentang tanggungjawab kita sebagai individu muslim terhadap keluarga, masyarakat dan negara. Pendahuluan di atas sekadar untuk menyedarkan diri kita terlebih dahulu tentang tanggungjawab terhadap diri sendiri sebelum kita dapat melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab yang lebih besar. Tulisan ini dikarang adalah dengan tujuan supaya segelintir daripada kita akan sedar tentang tanggungjawab-tanggungjawab yang harus mereka pikul, dan seterusnya menyedarkan orang lain pula akan hakikat ini. Harap-harapnya begitulah.
Tanggungjawab individu muslim
Setiap ahli dalam sesebuah keluarga mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga mereka mengikut tahap umur masing-masing. Tanggungjawab yang lebih tua dalam keluarga mungkin lebih besar berbanding tanggungjawab yang lebih muda. Tapi, masing-masing mempunyai tanggungjawab mereka tersendiri. Dalam sesebuah keluarga, bapa atau suami merupakan ketua kepada keluarga tersebut dan memainkan peranan yang paling besar dalam pembentukan keluarga. Misalnya, dalam soal agama, ketua keluarga ini wajib menyemai nilai-nilai yang diajarkan oleh Islam ke dalam diri setiap ahli keluarga. Dia wajib mendidik dan mentarbiyah mereka sehingga mereka dapat beramal dan melaksanakan tuntutan agama ke atas mereka selaku orang Islam. Tanggungjawab ini wajib dilaksanakan, kerana ia akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak.
Sebenarnya, pembentukan sesebuah masyarakat yang cemerlang dan berpegang teguh dengan syariat Islam bermula dari peringkat keluarga lagi. Jika baik proses pentarbiyahan di peringkat keluarga, maka akan lahir jugalah masyarakat yang cemerlang yang 'berdiri' atas syariat Islam. Tetapi, perkara ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa ada kesedaran dalam kalangan ibu bapa khususnya dan masyarakat amnya. Perkara ini mesti bermula daripada ibu bapa kerana mereka yang akan mencorakkan generasi masa depan. Tapi, kesedaran yang diharapkan ini seolah-olah sukar untuk dicapai. Kenapa tidaknya, ibu bapa sendiri yang kurang didikan Islam, inikan pula hendak mendidik ahli keluarga mereka. tambahan lagi, masyarakat hari ini seolah-olah terlalu sibuk dengan kerjaya sampaikan kurang masa yang diluangkan bersama keluarga. Saya bukanlah bermaksud ingin mengkritik dan jauh sekali hendak mengutuk golongan-golongan ini, tetapi saya lebih kepada ingin menyedarkan masyarakat yang saya cintai ini dan seterusnya supaya dapat wujud jalan penyelesaian kepada masalah yang melanda umat ini pada hari ini. Saya akan membuat kesimpulan berkenaan hal ini di hujung nanti.
Seterusnya, saya ingin menghurai pula tentang tanggungjawab kita sebagai individu muslim terhadap masyarakat. Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab masing-masing terhadap masyarakat mengikut kemampuan kita. Pertama sekali, menjadi tanggungjawab kita untuk menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Banyak ayat al-Quran yang menyeru kita supaya melaksanakan tuntutan ini. Antaranya ialah ayat 104 surah Ali-Imran yang bermaksud :
"Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung."
Dalam ayat Al-Quran di atas, Allah SWT telah menerangkan kepada kita tentang tuntutan amar makruf dan nahi munkar. Daripada ayat di atas, dapat kita fahami bahawa dalam sesebuah masyarakat itu, wajib ada segolongan yang melakukan amar makruf dan nahi munkar ini. Ini merupakan satu tuntutan ke atas kita, maka ia wajib dilaksanakan. Sebenarnya, setiap daripada kita dapat menjalankan tuntutan ini sesuai dengan kemampuan masing-masing. Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud :
"Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah dengan lidahnya, jika tidak mampu hendaklah dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (riwayat Muslim)
Begitulah hadis yang menerangkan kepada kita bagaimana amar makruf dan nahi munkar dapat dijalankan. Setiap daripada kita mampu untuk menjalankan tuntutan ini sebenarnya. Umpamanya, melarang seorang sahabat daripada membuang sampah merata-rata, itu satu dakwah. Menegur sahabat yang mencarut, itu satu dakwah. Dakwah ini fleksibel, ia dapat dijalankan di mana-mana sahaja dan dengan cara yang pelbagai. Dakwah ini adalah seni dan ia memerlukan cara yang bijaksana untuk menjalankannya agar penerimaan orang terhadapnya baik.
Itu antara tanggungjawab seorang individu muslim terhadap masyarakat di sekelilingnya, iaitu menjalankan amar makruf dan nahi munkar, atau dalam kata lainnya dakwah. Dakwah itu mesti dijalankan agar orang lain turut sama dapat merasakan kenikmatan berada dalam agama Islam.
Selain itu, seorang muslim tidak semestinya menjalankan tanggungjawab mereka terhadap sesama muslim sahaja. Kepada orang yang bukan muslim, sewajarnya juga mereka turut dibantu dalam hal-hal yang dibolehkan Islam. Seseorang muslim itu dapat membantu orang yang bukan muslim dengan menghulurkan pertolongan dan kebajikan kepada mereka. Perkara ini sebenarnya mesti dijalankan kerana orang bukan Islam harus melihat nilai-nilai murni dalam Islam agar mereka tertarik dengan Islam dan seterusnya berminat untuk mendalami Islam. Sirah Rasulullah telah membuktikan hal ini apabila seorang perempuan kafir yang sering melontarkan nabi dengan tahi apabila baginda melalui jalan di hadapan rumah perempuan itu, kemudiannya perempuan itu telah jatuh sakit, tetapi nabi tidak membalas sikap buruk perempuan itu dengan kejahatan, tetapi baginda membalasnya dengan layanan mesra dan penuh kasih sayang, akhirnya perempuan tua itu masuk Islam kerana tertarik dengan nilai murni yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Seterusnya, kita pergi pula ke tanggungjawab individu muslim terhadap negara. Sesebuah negara tidak akan dapat berdiri dengan kukuh tanpa ada penyertaan daripada rakyatnya. Saya maksudkan dengan penyertaan di sini ialah sumbangan daripada rakyat berupa tenaga, idea dan lain-lain sehingga dapat menjadikan sesebuah negara itu maju. Jika dari aspek material sesebuah negara itu maju kerana sumbangan daripada rakyatnya, maka begitu juga dari aspek sosial negara itu yang turut berhajat kepada sumbangan daripada rakyatnya. Dalam hal ini, masyarakat yang dibentuk dengan acuan nilai-nilai Islam yang murni dapat menyumbang kepada kemajuan negara dari segala aspek, baik dari segi ekonomi, politik dan lain-lain. Umpamanya, gejala rasuah dalam negara dapat dihapuskan. Politik yang bersih dapat dijalankan dalam negara. Gejala sosial yang buruk dalam kalangan masyarakat terutamanya dalam kalangan remaja dapat dikurangkan. Ini merupakan antara impak positif terhadap negara apabila nilai-nilai Islam menjadi 'pilihan' untuk diterapkan dalam masyarakat, dan bukannya budaya barat yang jauh menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar.
Kesimpulannya
Sebenarnya, proses pembentukan sebuah negara yang betul-betul mengamalkan Islam sebagai cara hidup tidak dapat dilaksanakan secara sekaligus. Ia mesti mengikut tahap dan peringkatnya. Seperti, mula-mula mesti didahulukan proses pentarbiyahan diri sendiri. Termasuk dalam peringkat ini cara kita menguruskan hawa nafsu kita supaya tidak menyimpang dari ajaran Islam. Seterusnya, berpindah ke satu peringkat lagi iaitu baitul muslim ataupun peringkat keluarga. Peringkat ini sangat-sangat penting kerana daripada sini ia akan membentuk pula sebuah masyarakat Islam. Dalam peringkat ini, ibu bapalah yang berperanan penting dalam mencorakkan anak-anak mereka dengan hiasan nilai-nilai Islam yang murni. Proses pendidikan dan pentarbiyahan perlu digiatkan dan diaktifkan supaya minda anak-anak sentiasa padat dengan tarbiyah dan didikan. Seterusnya, daripada peringkat keluarga, pergi pula ke peringkat masyarakat. Jika, proses pentarbiyahan di peringkat keluarga tadi baik, maka, insya-Allah, masyarakat Islam yang berpegang teguh dengan nilai-nilai Islam akan menyusul pula selepas itu. Apabila masyarakat Islam ini dapat dibentuk, proses dakwah pula akan menjadi mudah dilaksanakan. Penerimaan masyarakat terhadapnya pula baik dan seterusnya program-program dakwah dapat berjalan dengan giat. Seterusnya, daripada peringkat masyarakat, pergi pula kepada negara. Apabila peringkat diri sendiri, keluarga dan masyarakat tadi baik, maka tiada halangan lagi untuk sebuah negara Islam dibentuk. Apabila negara Islam telah dibentuk, maka, akan terbukalah sebuah harapan baru untuk umat Islam kembali gemilang seperti zaman dahulu.
Lihat, bagaimana perkaitan antara satu peringkat dengan peringkat yang lain. Masing-masing mempunyai hubungan antara satu sama lain sehingga memungkinkan sebuah negara Islam dibentuk. Jadi, ingin saya tekankan di sini, untuk mencipta sesuatu yang besar perlu bermula daripada sekecil-kecil perkara yang kadang-kala kita tidak sedar keperluannya dalam usaha kita untuk mencapai sesuatu yang besar itu. Dalam soal ini, kadang-kala kita berjumpa dengan orang yang semangatnya untuk memperjuangkan Islam sehingga tertegaknya daulah Islamiyyah berkobar-kobar, tetapi dia lupa, ada sesuatu yang perlu dia perbaiki terlebih dahulu sebelum cita-citanya itu dapat dicapai. Dia lupa bahawa dirinya itu cukup lemah, dia lupa bahawa hubungannya dengan Allah SWT cukup renggang. Yang sebenarnya, perkara ini yang perlu dia perbaiki terlebih dahulu.
Saya tidak bermaksud mengatakan bahawa kalau diri tidak kuat tidak boleh perjuangkan Islam. Tidak, bukan itu maksud saya. Yang saya maksudkan, dalam usaha kita memperjuangkan Islam itu, jangan dilupa diri kita yang sering tidak tetap pendirian ini, jangan dilupa teguhkan iman kita yang ada turun dan naiknya, jangan dilupa perkuatkan hubungan dengan Allah SWT, agar tidak terkandas di tengah jalan. Diri kita ini perlu sentiasa ada makanannya, makanan rohani, agar roh perjuangan itu sentiasa membakar dalam diri.
Saya rasa setakat itu sahaja coretan saya kali ini. Apa yang baik ambillah untuk dijadikan pengajaran, dan jika ada keburukan saya minta maaf atas kekurangan itu. Sebarang komen yang membina amat dialu-alukan.
Wallahua'lam.